Saya memang menghadapi masalah sakit belakang semasa mengandung. Mula-mula mengandung kali pertama saya kebal. 9 bulan yang menggembirakanlah ceritanya tetapi apabila saya diwadkan dan dipaksa buka jalan sampai 3 kali dan berakhir di bilik pembedahan detik itulah yang mengorbankan keupayaan fizikalku sebagai seorang wanita. Penderitaan sakit belakang saya bermula semasa saya mengandung anak kedua dengan berat badan 62 kg ditambah lagi apabila kandungan mencecah 9 bulan. Penderitaan sakit belakang pada waktu malam ditambah lagi dengan keadaan badan yang kurang selesa iaitu panas dan rimas memang sangat azab dikenang. Keadaan itu hanya saya yang menanggung kerana kalau disebut atau diceritakan kepada rakan, nanti mulalah disuruh makan produk itu dan ini. Selepas bersalin anak kedua secara normal, dalam tempoh berpantang, saya terpaksa juga mengurus haji saya dan ibu bapa saya, dan hanya empat bulan selepas bersalin saya sudah terbang dan mengerjakan haji di Mekah. Penderitaan sakit belakang itu datang semula sewaktu ibadat saie, tetapi saya cuba menidakkan unsur pernah dibius dan mengandung dua kali itu. Dua kali saya terpaksa membeli bengkung untuk menguatkan pinggang untuk memberi ketahanan badan semasa berjalan ulang-ulik itu. Semasa saya mengandung anak ketiga, berat badan saya bertambah malah bayi yang dalam kandungan waktu itu memang besar. Walaupun saya berjaya bersalin normal tetapi keadaan itu bukan berakhir dengan kegembiraan kerana saya mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan bayi dalam kandungan. Buat sementara saya berpantang dengan betul dengan mengambil jamu, gamat dan segala bagai makanan tambahan untuk orang bersalin. Selepas dua tahun saya mengambil keputusan untuk menambah bilangan anak, namun saya terpaksa berhadapan dengan masalah berat badan 62 kg sekali lagi sehinggalah mencecah 68kg. Masalah kejang kaki dan tenaga sewaktu hamil kali keempat ini saya atasi dengan pemakanan tambahan Shaklee iaitu saya mengambil pakej untuk orang mengandung dan betul-betul mengikut aturan makan yang tercatat pada botol. Jangan kata sesudah makan shaklee itu sakit belakang saya sudah hilang, sakit itu datang sama macam sewaktu saya mengandung anak kedua dan ketiga. Kelahiran anak keempat saya secara pembedahan atas nasihat doktor memandangkan kedudukan anak saya yang songsang pada waktu itu. Selepas pembedahan, saya mengambil masa dua bulan untuk pulih dibahagian parut pembedahan dan sakit belakang memandangkan berat badan saya sudah pun mencecah 65kg pada masa itu. Saya berjuang untuk memulihkan badan sendiri. Ada suatu detik dan ketika saya agak hairan dengan berat badan saya yang sukar turun walaupun kuantiti pemakanan saya lebih kurang sama sahaja dengan semasa saya mengandung anak ketiga dulu. Saya cuba bersikap rasional dan berpijak dibumi yang nyata.
Antara faktor berat saya tidak turun mendadak sebagaimana turunnya berat badan sewaktu melahirkan anak kedua dan ketiga ialah :
1. Saya mengandung dan melahirkan anak keempat dalam usia saya 38-39 tahun, dalam usia ini, saya gagal melepasi ujian gula pada usia kandungan saya 4 bulan. Sejak itu selera makan saya juga sudah semakin rasional dengan mengurangkan jumlah kuantiti pengambilan sarapan tetapi masih gagal menghilangkan tabiat minum teh tarik setiap pagi. Bacaan Ujian darah 4 kali itu juga ada yang hampir gagal melepasi ujian gula walaupun bilangannya tidaklah tinggi melepasi angka 10.
2. Saya tidak pernah berpuasa atau berdiet, tetapi itu bukanlah bermakna saya kuat makan atau gelojoh bab-bab makan ni. Saya melalui suatu tempoh pemikiran bahawa sebagai ibu yang menyusukan anak dan mengandung agak sukar saya melupakan soal makan. Sehingga saya sedar saya seolah-olah ketagihan makanan. Baru seminggu lepas, kemungkinan saya mempunyai keadaan di mana saya sebenarnya menghadapi masalah ingatan kepada rasa gula yang amat tinggi sehingga otak saya tidak boleh mengawal pengambilannya. Gula dalam badan dan seakan-akan sebati ibarat lagu dan irama. Saya juga mempunyai tabiat tidak suka minum air masak. Sehingga kini saya sudah merasakan pemikiran dan kecanduan terhadap gula dan perisa semakin membelenggu saya sedangkan pada usia ini, berat badan saya seharusnya turun sekurang-kurangnya 6 kilogram iaitu berat yang sepatutnya saya kembali selepas setahun bersalin.
3. Saya juga tidak dapat menafikan faktor keturunan juga mempengaruhi kerendahan metabolisme dalam badan saya untuk memproses makanan dengan cepat. Arwah ibu saya juga agak gempal dan merupakan insan yang sangat sukakan makan tetapi ibu saya makan makanan yang ada dihidangkan di rumah sahaja iaitu homemade only. Berbeza dengan saya yang terlalu terdedah dengan kemewahan rasa masakan dari pelbagai kedai makan yang berlainan. Tabiat pemakanan saya juga semakin berubah, ingatan terhadap makan berkeju, pedas dan ayam semakin hari semakin sukar untuk dipisahkan. Setelah menyedari itu, sering kali juga saya mencuba pelbagai supplement atau makanan tambahan untuk kesihatan badan. Malangnya, suatu masa saya rasa bosan kerana ternyata makanan-makanan tambahan ini memerlukan kos yang tinggi. Dalam kalangan masyarakat sudah cenderung iklan mempromosikan makanan atau minuman untuk kesihatan yang harganya mencecah puluhan dan ratusan ringgit.
Sebagai jalan penyelesaian kepada masalah sakit belakang, saya telah membeli korset Premium Beautiful kerana saya sudah mengetahui manfaat korset ini untuk mengatasi masalah sakit belakang. Saya sakit belakang sewaktu berat badan saya 58kg(anak kedua), 62kg(anak ketiga) dan (65kg) anak keempat. Manfaat korset untuk mengatasi sakit belakang kesan bius tulang belakang sewaktu menjalani pembedahan kelahiran keempat tidak bersangkut paut langsung dengan sebab untuk menurunkan berat badan. Pembelian itu adalah untuk satu sebab sahaja iaitu mengatasi masalah penderitaan sakit belakang. Perjuangan saya menghadapi usia 40-an dengan keadaan metabolisme serta ketagihan makan terhadap gula pula satu usaha yang saya secara rasional tidak dapat diatasi dengan hanya memakai PB tu hari-hari. Come on girl! Tolong beretika sedikit sewaktu memberi testimoni anda itu, jangan jadikan perbualan-perbualan pelanggan anda itu bahan untuk mempromosikan produk anda tanpa mengetahui latar belakang atau asal usul pelanggan anda itu. Ya betul PB itu memberi manfaat dalam mengurangkan sakit belakang saya tetapi tolong jangan cakap sebab anda tidak maintain pakai maka tidak turun berat badan itupun selepas hanya 2 bulan beli. Saya rasa hanya penderita bius tulang untuk pembedahan bersalin sahaja yang memahami sakit belakangku ini. Wallahualam.