Saturday, March 28, 2020

Cetusan Rasa

Dinihari ini semacam sayu.
Terdengar bukan lagi bunyi cengkerik dan desingan si siput babi
di kaki pasu bungaku,
tetapi bunyi watt lampu elektrik,
bunyi enjin alat pendingin hawa kuasa kuasa,
bunyi kipas berdiri bersama dengkuran anak-anak kecil dan ketua keluarga
yang kepenatan dan kelelahan mengusahakan apa-apa mahunya keluarga
kecilnya siang tadi.

Zaman ini bukan Zaman Gelap lagi atau zaman Perang Dunia Siri Bersiri.
Zaman ini zaman kesukaran yang tidak mungkin akan terfikir
dek akalku masa aku kecil dahulu,
sewaktu ghairahnya membaca buku Sejarah di sekolah.

Chikugunya, banjir besar dan luar biasa, Tsunami, jerebu...
Kali ini virus jangkitan penyakit Covid-19 pula.
Virus ini bukan virus yang menyerang telefon pintar kita lantas kita
boleh reset semula.

Serangan ini satu perjuangan yang kali ini pejuang jihadinya ialah
para doktor dan petugas kesihatan seluruhnya,

Aku duduk di rumah, duduk diam-diam, tidak keluar.
Pabila arus idea tiba-tiba mencurah keluar,
kucapai pena lalu kutulis semuanya.

Panjangkanlah umur kami, Wahai Tuhan yang Esa. Doa kami bagi setiap ulang tahun kelahiran
yang selalu kutitipkan.

Annurfitrah 29 Mac 2020.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...